Seminar Menangani Keganasan Rumahtangga anjuran Majlis Pembangunan Wanita Negeri Kedah Darul Aman akan diadakan pada 5/8/09 di Dewan Majlis Daerah Pendang pada Jam 2 Petang.
Program yang mendapat kerjasama sepenuhnya dari Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pendang ini akan memberi penekanan kepada bentuk-bentuk keganasan dalam rumahtangga terutama terhadap wanita serta cara-cara menanganinya. Peserta juga diberi penerangan langkah-langkah yang boleh diambil jika berlakunya keganasan dalam rumahtangga samada diri, keluarga atau masyarakat.
Selain sesi ceramah dari Kaunselor yang dijemput khas untuk memberi taklimat bagaimana menghadapi tekanan akibat dari menjadi mangsa keganasan dalam rumahtangga, peserta juga akan diberi penerangan akan hak-hak serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku keganasan terhadap isteri atau suami oleh wakil dari Polis Diraja Malaysia.
Program ini tidak terhad kepada lebih 200 peserta yang dijemput tetapi adalah terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mendapat lebih maklumat atau mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkara yang diperbincangkan.
Sebarang bentuk keganasan dalam rumahtangga samada terhadap wanita maupun lelaki adalah tidak wajar. Keganasan tidak sekali-kali harus dijadikan jalan penyelesaian dalam apa jua masalah. Keganasan hanya membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Majlis Pembangunan Wanita Negeri Kedah Darul Aman, pihak Polis Diraja Malaysia, Penceramah, pihak urusetia yang terdiri dari Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pendang, para peserta serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.
Akhir kata saya ingin menyeru setiap seorang dari kita untuk membantu mencegah sebarang bentuk keganasan terutama dalam rumahtangga. lihatlah diri kita, keluarga kita dan masyarakat sekeliling kita, kita mampu membuat perubahan.
Salam.